MOST RECENT

Category

    Pengunjung

    Facebook Picture

    Followers

    Map Traffic

Nabi Musa dihanyut ke Sungai Nil

Nabi Musa dihanyut ke Sungai Nil

NABI berikutnya, Nabi Musa, diutuskan memimpin Bani Israel ke jalan benar supaya beriman dan bertakwa kepada Allah. Beliau ialah anak Imran dan Yukabad bin Qahat, bersaudara dengan Nabi Harun, dilahirkan di Mesir pada pemerintahan Firaun.

Waktu kelahirannya cukup cemas kerana Firaun menguatkuasakan undang-undang supaya setiap bayi lelaki yang dilahirkan terus dibunuh. Tindakan itu diambil kerana dia sudah terpengaruh dengan ahli nujum yang menafsirkan mimpinya.

Firaun bermimpi Mesir terbakar dan penduduknya mati, melainkan kalangan Bani Israel, sedangkan ahli nujum mengatakan kuasa negara itu akan jatuh ke tangan lelaki Bani Israel. Disebabkan khuatir, dia memerintahkan setiap rumah digeledah dan jika mendapati bayi lelaki perlu dibunuh.

Bagaimanapun, kuasa Allah tiada siapa mampu menghalang. Satu hari, Yukabad melahirkan seorang bayi lelaki (Musa) dan kelahiran itu dirahsiakan. Dia bimbang terhadap keselamatan Musa, jadi apabila mencapai usia tiga bulan Musa dihanyutkan ke Sungai Nil.



Sungai Nil....


Ternyata Allah Maha Berkuasa berikutan Musa yang terapung di sungai itu ditemui isteri Firaun sendiri dan tanpa berlengah dibawanya ke istana.

Melihat isterinya, Asiah membawa Musa ke istana, Firaun dengan pantas menghunuskan pedang untuk membunuh Musa.

Asiah berkata: “Janganlah dibunuh anak ini kerana aku menyayanginya. Baik kita menjadikannya seperti anak sendiri kerana aku tidak mempunyai anak.” Mendengar luahan hati isteri tercinta itu, Firaun tidak sampai hati untuk membunuh Musa.

Kemudian Asiah mendapatkan pengasuh tetapi tidak seorang pun yang dapat mendodoikan Musa dengan baik, malah dia asyik menangis dan tidak mahu disusui. Selepas itu, ibunya sendiri tampil untuk mengasuh dan membesarkannya di istana Firaun.

Al-Quran menghuraikan peristiwa itu: “Maka Kami kembalikan Musa kepada ibunya supaya senang hatinya dan tidak berdukacita dan supaya dia mengetahui janji Allah itu benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.”

Pada satu hari, Firaun mendukung Musa yang masih kanak-kanak, tetapi dengan tiba-tiba jangutnya ditarik hingga dia kesakitan, lalu berkata: “Wahai isteriku, mungkin kanak-kanak ini yang akan menjatuhkan kekuasaanku.” Isterinya berkata: “Sabarlah, dia masih kanak-kanak, belum berakal dan mengetahui apa pun.”

Sejak berusia tiga bulan hingga dewasa Musa tinggal di istana itu sehingga orang memanggilnya Musa bin Firaun. Nama Musa sendiri diberi keluarga Firaun. “Mu” bermakna air dan “sa” bermaksud pokok sempena tempat penemuannya di tepi Sungai Nil oleh Asiah.

11:36 | Posted in | Read More »

Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup

Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup

RAJA Namrud mati akal ketika berhujah dengan Nabi Ibrahim berikutan semua pertanyaan yang dikemukakannya kepada Ibrahim dijawab mengikut logik akal.

Bagaimanapun, Namrud yang mengheret Ibrahim ke muka pengadilan atas tuduhan menghancurkan berhala yang disembah kaumnya tetap mahu menghukum Ibrahim. Justeru, Namrud memerintahkan tenteranya supaya menangkap Ibrahim untuk dibakar hidup-hidup.

Rakyat dikerah mengumpulkan kayu untuk tujuan pembakaran itu. Ibrahim dicampak ketika api marak di hadapan orang ramai yang menyaksikannya dengan penuh gelisah.

Walaupun berada dalam api yang marak, Ibrahim tidak terbakar, malah dirasakannya bertambah sejuk. Keistimewaan luar biasa itu adalah mukjizat Allah kepadanya.

Sebagaimana firman Allah, bermaksud: “Wahai api, hendaklah kamu dingin dan selamatkan Ibrahim.”

Melihat Nabi Ibrahim masih terselamat daripada api yang menjulang tinggi, Raja Namrud semakin benci dan marah sehingga menganggap Ibrahim musuh besar dan dihalau dari Babylon (kini di Iraq).

Tanpa berlengah Ibrahim keluar dari negeri kelahirannya itu dan pergi ke Palestin. Beliau bertindak demikian berikutan sudah lama tinggal di Babylon, sedangkan bilangan orang beriman terlalu sedikit.

Di Palestin, beliau tinggal tidak lama kerana selepas itu beliau yang ditemani isterinya Sarah, berpindah ke Mesir.

Ketika baru tiba di Mesir, Ibrahim menghadapi masalah kerana raja berkenaan mahu mengambil Sarah sebagai isterinya kerana terpesona dengan kecantikannya.

Apabila raja berkenaan mahu menyentuh Sarah, kaki dan tangannya dilumpuhkan Allah. Kemudian raja berkenaan bertaubat, tetapi diulanginya lagi perbuatan itu kali kedua dan ketiga, hingga dibutakan mata dan dilumpuhkan seluruh badan.

Akhirnya, raja itu insaf. Ibrahim dan Sarah kemudian hidup senang dengan nikmat berganda hingga menimbulkan perasaan dengki kalangan penduduk. Ini menyebabkan Ibrahim dan Sarah kembali ke Palestin semula.

Sementara itu, kerajaan Raja Namrud di Babylon menerima balasan dengan seksaan Allah kerana tidak beriman. Semua mereka yang ingkar, termasuk Raja Namrud mati bergelimpangan selepas diserang nyamuk.

Berbalik kepada Ibrahim, ketika di Palestin, beliau berkahwin seorang lagi, iaitu dengan Hajar. Daripada hasil perkongsian hidup dengan Hajar, mereka dikurniakan Ismail. Daripada perkahwinan Ibrahim dengan Sarah, lahir Ishak.

Selepas itu, Ibrahim membawa Ismail dan Hajar ke Makkah. Mereka ditinggalkan di satu kawasan lembah yang tidak berpenghuni, tetapi menjadi laluan pedagang dan perkhemahan kafilah dari Yaman dan Syria.

Ibrahim sedih melihat keadaan itu. Justeru, sebelum meninggalkan dua beranak itu, Ibrahim berkata: “Wahai Hajar, semua ini dilakukan mengikut perintah Yang Maha Berkuasa, perintah-Nya tidak dapat dilawan, bergantunglah pada rahmat Allah dan yakin Dia tidak akan membiarkan kamu.”

Selepas itu, Ibrahim berdoa. Mengikut huraian al-Quran, maksudnya: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanaman, dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati.

“Wahai Tuhan kami dengan yang demikian itu supaya mereka (Hajar dan Ismail) mendirikan solat. Jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berikanlah rezeki mereka daripada buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.”

Dengan perintah Allah, Ibrahim segera kembali ke Syam (Palestin) untuk hidup bersama Sarah. Tidak lama kemudian makanan dan minuman dua beranak itu (Hajar dan Ismail) habis, malah air susu Hajar kering.

Keadaan di kawasan yang gersang itu cukup menyedihkan. Mereka kehausan sehingga air mata berlinangan. Hajar bangun dan berlari ke Bukit Safa untuk mencari air.

Dari sana dia nampak bayangan air di Bukit Marwah, lalu berlari lagi ke sana. Pandangan itu mengecewakannya, tetapi melihat keadaan Ismail yang kehausan dia terus berlari antara Safa dan Marwah, tujuh kali.

Usaha itu tidak berhasil sehingga dua beranak itu tidak terdaya lagi untuk meratap. Pada ketika itu juga doa Nabi Ibrahim dimakbulkan Allah. Air jernih keluar dari bawah tapak kaki Ismail dan melihat perkara itu Hajar begitu gembira.

Mata air itu bertakung dan hingga sekarang dinamakan air zam-zam, manakala perbuatan Hajar berlari di antara Safa dan Marwah menjadi rukun haji, dinamakan Sa'i.

Beberapa lama selepas peristiwa itu, Ibrahim mengunjungi Hajar dan Ismail di kawasan berkenaan. Beliau terperanjat setibanya di sana apabila mendapati kawasan yang dulunya gersang menjadi subur dan ditakungi air.

Mengikut al-Quran, menjelang hari terakhir riwayat Nabi Ibrahim, Makkah menjadi sebuah kota yang makmur. Ini disebabkan beliau berdoa kepada Allah: “Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri ini aman dan jauhkan aku serta anak cucuku daripada menyembah berhala.”

11:17 | Posted in | Read More »

Nabi Ayub diuji penyakit kulit

Nabi Ayub diuji penyakit kulit

NABI Ayub, anak Nabi Ishak dilimpahi kekayaan harta benda, malah mempunyai banyak binatang ternakan seperti lembu, kambing, kuda, kaldai dan unta. Kekayaan itu membuatkan kehidupannya senang.

Beliau juga mempunyai keturunan yang besar kerana ramai anak, baik lelaki mahu pun perempuan. Seorang daripada anaknya menjadi nabi, iaitu Basyar.

Walaupun kaya dan mempunyai segala kemewahan, Nabi Ayub tidak lupa membuat kebajikan kepada golongan fakir, miskin dan anak yatim. Beliau tidak sombong, malah tetamu yang mengunjungi rumahnya disambut dengan baik.

Harta dan keturunan yang besar tidak sedikit pun menjadikannya bongkak dan hamba kepada kekayaan. Sebaliknya, dengan kekayaan itu keimanan dan ketakwaannya kepada Allah semakin luhur.

Melihatkan keadaan Nabi Ayub itu, iblis berusaha menggunakan segala tipu helah untuk menggugat keimanannya.

Justeru Nabi Ayub diuji dengan pelbagai cubaan. Pertama diuji melalui kekayaan dan harta bendanya. Kemewahan dengan kekayaan yang dinikmati, semakin hari menjadi susut dan seterusnya semua kekayaan itu habis.

Ayub akhirnya menjadi miskin dalam sekelip mata. Walaupun menghadapi ujian getir itu keimanan kepada Allah tidak langsung terjejas. Beliau sabar menghadapi dugaan dengan hatinya tidak ketinggalan mengingati Allah.

Pendirian Nabi Ayub ternyata tidak mudah diubah. Justeru, diuji sekali lagi dengan kematian anaknya, namun beliau masih bersabar dan pada masa sama memupuk ketakwaan pada Allah.

Mengenai pelbagai ujian itu, Allah berfirman, maksudnya: “Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira bagi orang yang sabar, iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, ‘sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali’.”

Nabi Ayub memang tetap dengan pendiriannya, tidak tewas dengan tipu helah iblis. Selepas itu, Nabi Ayub diserang penyakit kulit yang luar biasa. Beliau menderita kerana penyakit itu selama tujuh tahun.

Walaupun begitu lama menanggung sengsara penyakit itu, beliau tidak pernah gelisah. Beliau tabah menghadapi dugaan. Walaupun badannya semakin kurus, hingga menakutkan mata memandang, beliau masih mampu mengingati Allah.

Disebabkan penyakit Nabi Ayub itu sungguh dahsyat tiada orang sanggup melihatnya, melainkan isterinya yang sabar menemani dan merawatnya. Iblis tidak senang apabila menyaksikan kesabaran dan kesetiaan isteri Nabi Ayub.

Isterinya digoda supaya tidak melayaninya lagi. Tipu daya iblis itu sebenarnya diketahui Nabi Ayub dari awal lagi lalu diberitahu kepada isterinya.

Nabi Ayub berkata kepada isterinya: “Jika aku sembuh, engkau pasti aku pukul 100 kali.” Kemudian Nabi Ayub berdoa kepada Allah seperti digambarkan melalui al-Quran: “Ingatlah ketika Ayub menyeru kepada Tuhannya: Ya tuhanku! Aku mendapat penyakit dan cubaan daripada syaitan.”

Doa Nabi Ayub dimakbul Allah dan penyakit yang dideritainya selama tujuh tahun sembuh. Dalam al-Quran diceritakan: “Cecah kakimu, inilah air yang sejuk untuk mandi dan minum. Dan Kami anugerahkan dia dengan mengumpulkan kembali keluarganya dan Kami tambahkan kepada mereka sebanyak mereka pula sebagai rahmat dari Kami dan pengajaran bagi orang yang mempunyai fikiran.”

Mengenai nazarnya, Nabi Ayub mengingatkan isterinya yang terpedaya dengan iblis bahawa beliau akan memukul isterinya itu 100 kali jika beliau sembuh. Justeru, apabila benar-benar sembuh dan sihat, Nabi Ayub bertekad untuk melaksanakan nazar itu.

Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Ayub mengenai cara melakukan nazar itu. Firman Allah, bermaksud: “Dan ambillah dengan tanganmu seikat rumput (100 batang), lalu pukullah dengan itu dan janganlah kamu melanggar sumpah.

Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayub) seorang yang sabar, dialah sebaik hamba kerana dia sesungguhnya amat taat kepada Tuhannya.”

Nabi Ayub menggunakan rumput yang diikat itu untuk memukul isterinya dengan sekali libasan. Walaupun sekali pukulan, ia dikira 100 kali kerana rumput yang diikat itu mengandungi 100 helai daun.

11:15 | Posted in | Read More »

Ratu Balqis tunduk kepada Nabi Sulaiman

Ratu Balqis tunduk kepada Nabi Sulaiman

SELESAI membangunkan Baitulmaqdis, Nabi Sulaiman menuju ke Yaman. Tiba di sana, disuruhnya burung hud-hud (sejenis belatuk) mencari sumber air. Tetapi burung berkenaan tidak ada ketika dipanggil.

Ketiadaan burung hud-hud menimbulkan kemarahan Sulaiman. Selepas itu burung hud-hud datang kepada Nabi Sulaiman dan berkata: “Aku telah terbang untuk mengintip dan terjumpa suatu yang sangat penting untuk diketahui oleh tuan...”

Firman Allah, bermaksud: “Maka tidak lama kemudian datanglah hud-hud, lalu ia berkata; aku telah mengetahui sesuatu, yang kamu belum mengetahuinya dan aku bawa kepadamu dari negeri Saba suatu berita penting yang diyakini.

“Sesungguhnya aku menjumpai seorang wanita yang memerintah mereka dan dia dianugerahi segala sesuatu serta mempunyai singgahsana yang besar. Aku mendapati dia dan kaumnya menyembah matahari, selain Allah...”

Mendengar berita itu, Nabi Sulaiman mengutuskan surat mengandungi nasihat supaya menyembah Allah kepada Ratu Balqis. Surat itu dibawa burung hud-hud dan diterima sendiri Ratu Balqis.

Selepas dibaca surat itu, Ratu Balqis menghantarkan utusan bersama hadiah kepada Sulaiman. Dalam al-Quran diceritakan: “Tatkala utusan itu sampai kepada Nabi Sulaiman, seraya berkata; apakah patut kamu menolong aku dengan harta?

“Sesungguhnya apa yang diberikan Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang diberikannya kepadamu, tetapi kamu berasa bangga dengan hadiahmu.

“Kembalilah kepada mereka, sungguh kami akan mendatangi mereka dengan bala tentera yang mereka tidak mampu melawannya dan pasti kami akan mengusir mereka dari negeri itu (Saba) dengan terhina dan mereka menjadi tawanan yang tidak berharga.”

Utusan itu kembali ke negeri Saba dan menceritakan pengalaman yang dialami di Yaman kepada Ratu Balqis, sehingga dia berhajat untuk berjumpa sendiri dengan Sulaiman.

Keinginan Ratu Balqis itu diketahui Nabi Sulaiman terlebih dulu dan beliau memerintahkan tenteranya, terdiri daripada manusia, haiwan dan jin untuk membuat persiapan bagi menyambut kedatangan Ratu Balqis.

Nabi Sulaiman juga memerintahkan Ifrit supaya membawa singgahsana Ratu Balqis ke istananya. Apabila Ratu Balqis tiba ditanya Sulaiman: “Seperti inikah singgahsanamu? Dijawab Ratu Balqis: “Ya, memang sama apa yang seperti singgahsanaku?

Kemudian Ratu Balqis dipersilakan masuk ke istana Nabi Sulaiman. Namun, ketika berjalan di istana itu, sekali lagi Ratu Balqis terpedaya, kerana menyangka air pada lantai istana Sulaiman, sehingga menyelak kainnya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dikatakan kepadanya; masuklah ke dalam istana. Maka tatkala dia (Ratu Balqis) melihat lantai istana itu, dikiranya air yang besar dan disingkapkannya kedua betisnya.

“Berkatalah Sulaiman; sesungguhnya ia istana licin yang diperbuat daripada kaca. Berkatalah Balqis; Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman dan kepada Allah, Tuhan semesta alam.”

Peristiwa itu menyebabkan Ratu Balqis berasa sangat aib dan menyedari kelemahannya, sehingga dia memohon ampun atas kesilapannya selama ini dan akhirnya dia diperisterikan oleh Nabi Sulaiman.

Demikian kisah Sulaiman dengan tenteranya terdiri daripada manusia, haiwan dan jin dalam menjalankan dakwah Allah terhadap Ratu Balqis. Kematian beliau berlainan dengan manusia biasa.

Nabi Sulaiman wafat dalam keadaan duduk di kerusi, dengan memegang tongkat sambil mengawasi dan memerhatikan jin yang bekerja.

Firman Allah: “Tatkala Kami telah menetapkan kematian Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka setelah kematiannya itu melainkan anai-anai yang memakan tongkatnya.

“Maka tatkala ia telah tersungkur, nyatalah bagi jin itu bahawa sekiranya mereka mengetahui yang ghaib tentulah mereka tidak akan tetap dalam seksa yang menghinakan.”

10:54 | Posted in | Read More »

Asal kejadian manusia....

Asal kejadian manusia

"APAKAH Engkau akan menjadikan manusia yang akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di dalamnya, sedangkan kami sentiasa bertasbih dan menyucikan Engkau," demikian pertanyaan malaikat kepada Allah kerana terkejut dengan pengisytiharan-Nya yang mahu menciptakan Adam dan keturunannya sebagai khalifah di bumi.

Namun, selepas itu malaikat akur keputusan itu.

Kemudian Adam diciptakan, iaitu daripada tanah kering yang berasal daripada lumpur hitam. Daripada tanah, Allah menjadikan Adam berperingkat, kemudian meniupkan roh ke tubuhnya.

Akhirnya sempurnalah kejadian Adam sebagai manusia, merangkumi otak, darah dan daging, bebas bergerak dan bertindak mengikut kehendak dan akal fikiran.

Apabila penciptaan Adam sempurna, Allah memerintahkan semua malaikat sujud kepadanya sebagai memulia dan menghormatinya.

Perkara ini dapat dilihat melalui ayat 28 hingga 29 surah Yusuf, maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan-Mu berfirman kepada malaikat; sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia daripada tanah liat kering, daripada lumpur hitam yang diberi bentuk. Apabila Aku menyempurnakan kejadiannya dan meniupkan kepadanya roh (ciptaan) Ku, tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud."

Selepas itu Allah mengajarkan kepada Adam segala nama, yang menjadi asas ilmu pengetahuan sebagai bekalan hidup di bumi. Apabila Adam mendapat ilmu, Allah memperlihatkannya kepada malaikat, dia memiliki darjat yang tinggi dari segi ilmu berbanding malaikat.

Lalu malaikat berkata: "Sungguh kami menyucikan Engkau wahai Tuhan kami, kerana kami tidak mengetahui melainkan yang telah Engkau ajarkan kepada kami dan Engkau Maha Mengetahui segalanya, Maha Bijaksana dalam segala urusan yang Engkau ciptakan."

Perkara ini dapat dilihat melalui surah al-Baqarah, ayat 31 hingga 33. Semua malaikat akur dengan perintah Allah dan sujud kepada Adam. Bagaimanapun, iblis dengan angkuh dan sombong enggan berbuat demikian.

Iblis memberikan jawapan kepada Allah kononnya dia lebih mulia daripada Adam. Menurut iblis, dia diciptakan daripada api, manakala Adam daripada tanah. Justeru, iblis menyangka dirinya lebih bermaruah dan mempunyai kedudukan tinggi daripada Adam. Melihat gelagat iblis yang bongkak itu, Allah melaknat iblis dan mengusirkannya dari syurga untuk selama-lamanya.

Hukuman itu menyebabkan iblis berdendam dengan Adam, lalu ia menyatakan permohonan kepada Allah supaya dipanjangkan usia sehingga hari kiamat. Iblis juga bersumpah untuk menyesatkan anak cucu Adam dari jalan yang benar, dengan mendatangi mereka (manusia) dari setiap penjuru untuk mengawasi kelemahan dan kecuaian mereka, sehingga mengheret ke lembah kesesatan dan derhaka kepada Allah.

Permohonan itu dikabulkan, namun Allah turut mengutuk iblis, melalui firmanNya: "Keluarlah kamu dari syurga ini dengan keadaan yang hina, kamu tidak akan mendapat rahmat-Ku dan Aku bersumpah akan memenuhi jahanam dengan kamu sekalian dan orang yang mengikutimu."

Selepas iblis diusir dari syurga, Adam tinggal keseorangan dan pada satu ketika dia terlena. Ketika itu, Jibril mencabut tulang rusuknya di sebelah kiri, dibentukkannya menjadi daging dan tulang, seterusnya terciptalah Hawa, sebagai isteri. Perkara ini dinyatakan dalam surah al-Nisa, ayat 1.

Adam dan Hawa tinggal di syurga dengan segala kenikmatan. Namun, Allah melarang mereka dari mendekati sejenis pokok sekali gus menegah memakan buahnya. Mereka diberi amaran, jika melanggar larangan itu, mereka termasuk golongan yang zalim dan akan mendapat balasan daripada Allah.

Bagaimanapun, larangan itu tidak dipatuhi. Kemudian, semua pakaian dan perhiasan di syurga yang dipakai mereka terlepas, dengan tiada satu pun tertinggal, melainkan mahkota.

Sambil menangis, Adam menoleh kepada Hawa, lalu berkata: "Persiapkanlah dirimu untuk keluar dari sisi Allah. Inilah permulaan munculnya maksiat."

Hawa menjawab: "Wahai Adam! Aku tidak pernah menyangka ada makhluk berani bersumpah palsu kepada Allah."

Di syurga Adam sentiasa berlari kerana malu kepada Allah, sehingga Adam mengira azab Allah dipercepatkan, lalu dia menundukkan kepala dan berkata: "Ampun! Ampun."

Lalu Allah berfirman: "Wahai Adam, adakah kamu melarikan diri dari-Ku?" Adam menjawab: "Tidak, tetapi aku malu kepada Engkau wahai Tuhan!"

Kemudian Allah mewahyukan kepada dua malaikat, supaya mengeluarkan Adam dan Hawa dari sisi-Nya, kerana telah menderhakai-Nya. Tanpa berlengah, Jibril melepaskan mahkota di kepala Adam, manakala Mikail mencabut mahkota di keningnya.

Selepas diturunkan dari tempat suci ke tempat yang penuh kelaparan, Adam menangisi kesalahannya selama seratus tahun. Dia sentiasa menundukkan kepala di atas kedua-dua lututnya, sehingga titisan air matanya membasahi bumi, menumbuhkan rumput dan pokok.

Wahab bin Munabbih menceritakan, Nabi Adam berada dalam kemurkaan Allah selama tujuh hari. Pada hari ketujuh Allah memanggilnya, kemudian memberikan wahyu kepadanya: "Wahai Adam, kesedihan apakah yang Aku lihat menimpamu hari ini? Bencana apakah menimpamu sehingga menyebabkanmu hanyut?"

Adam berkata: "Sungguh besar musibah, wahai Tuhan. Aku diliputi kesalahanku sendiri dan aku keluar dari kerajaan Tuhanku, sehingga aku berada di tempat kehinaan, sebelumnya aku berada dalam kemuliaan.

"Aku berada di tempat celaka, sebelumnya aku dalam kebahagiaan. Aku berada di tempat sukar, sebelumnya aku dalam kemewahan. Aku di tempat bencana, sebelumnya aku dalam keselamatan.

"Aku sekarang berada di tempat yang akn musnah setelah berada dalam ketenangan. Aku sekarang berada di tempat yang hancur setelah berada di tempat kekal abadi dan aku sekarang berada di tempat yang penuh penipuan setelah berada dalam keamanan. Tuhanku, tentu saja aku menangisi kesalahanku? Bagaimana mungkin aku tidak meratapi diriku sendiri?" Allah berfirman kepada Adam: "Bukankah Aku telah memilihmu untuk diri-Ku? Aku telah menghalalkan rumah-Ku untuk dirimu, Aku memilihmu atas semua makhluk-Ku, Aku mengkhususkan keramat-Ku terhadap dirimu, Aku mencurahkan kecintaan-Ku terhadap dirimu, Aku memberi peringatan kepadamu akan kemurkaan-Ku?

Bukankah Aku menciptakanmu sendiri, Aku telah meniupkan nyawa ke dalam tubuhmu, Aku memerintahkan malaikat supaya sujud dan bukankah Aku menjadikanmu sebagai pendamping-Ku di syurga-Ku.

Kamu menggunakan keramat-Ku sekehendakmu sendiri, sehingga kamu telah menderhakai perintah-Ku, kamu telah melupakan janji-Ku dan mensia-siakan wasiat-Ku? Bagaimana sekarang kamu akan memungkiri seksaan-Ku?

Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, seandainya bumi ini penuh dengan orang seperti kamu, di mana (mereka) sentiasa bertasbih malam dan siang tiada hentinya. Kemudian mereka menderhakai Aku. Aku akan memberikan tempat kepada mereka seperti tempat orang yang derhaka.

Sesungguhnya Aku mengasihani kelemahanmu, mengangkatmu dari kejatuhan, menerima taubatmu, mendengar permohonanmu yang tulus dan Aku mengampuni dosamu."

Lalu disuruh-Nya Adam berkata: "Tiada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau ya Allah dengan segala puji-Mu, aku telah menganiaya diriku sendiri dan aku melakukan kejahatan, terimalah taubatku. Sesungguhnya, Engkau Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Pengasih."

Kemudian Allah mengirimkan kepada Adam sebuah khemah dan diletakkannya di tempat berdirinya Kaabah (sebelum Kaabah itu sendiri diciptakan). Di sanalah Adam tinggal dan seterusnya mengembangkan keturunannya

10:44 | Posted in | Read More »

Blog Archive

Recently Commented

Recently Added